Jumaat, 8 April 2011

Senjakala guna sistem bunyi canggih

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgyHaTjwHYP5I3OzZLzMYMzmTKNAxED-BDl-kwNDl073Zj0EpMaoOmcZUexNZGFBpfF7chVmfuISDyEc6cOPdQIz4fQCxTca-HGyFxDUgijtNtvzbXMnnnM9pHTbxjyrNylikCSFvsOV1GQ/s1600/Poster+Senjakala.jpg 

Filem Senjakala adalah filem seram kelima arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, mencipta sejarah tersendiri apabila menghasilkan proses audio di Digital Mixstage, Finas dan berjaya mendapatkan kesan setaraf dengan audio yang dihasilkan di luar negara untuk filem tempatan.

Menurut Idham, dia turut merasa bangga dan secara tidak langsung dapat mengubah persepsi kepada penggiat filem tempatan tentang kualiti audio yang dihasilkan di Finas.


“Secara keseluruhannya saya berpuas hati kerana ramai yang memuji audio yang digunakan untuk filem ini.

“Sekali gus filem Senjakala dapat membuktikan bahawa kepakaran anak tempatan wajar diberi perhatian,” katanya yang ditemui selepas tayangan Senjakala di Lotus Five Star, Petaling Jaya baru-baru ini.

Tidak seperti filem-filem seram karyanya sebelum ini, Idham mengetengahkan isu percintaan remaja yang mampu menarik golongan sasaran menyaksikan ia di pawagam.

“Selalunya cerita seram, kita akan menceritakan tentang pembalasan, rasukan dan gangguan hantu tersebut tapi kita tak pernah terfikir asal usul hantu itu dan bagaimana kehidupan orang yang membelanya. Bayangkan kalau orang yang membela itu adalah pasangan kekasih kita sendiri.

“Jadi itulah kelainan yang cuba saya tonjolkan dalam filem seram saya kali ini dan ia juga memberi cabaran kepada saya untuk berdepan dan berlawan dengan kreativiti sendiri agar boleh saya berikan kelainan kepada penonton,” katanya.

Jelas Idham lagi, bagi memberikan sentuhan baru dan Senjakala dia mempertaruhkan pelakon berbakat iaitu Zahiril Adzim dan Liyana Jasmay sebagai pelakon utama.

“Keserasian antara mereka juga menyerlah. Walaupun ini pertama kali saya bekerja dengan Zahiril tetapi saya senang kerana dia faham dan tahu untuk membina karakter wataknya,” katanya.

Senjakala akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia dan turut ditayangkan di Rex Cinema Singapura dan Jet Cinema Singapura pada 14 April 2011.

Selain Liyana dan Zahiril, turut membintangi, Faezah Elai, Ruminah Sidek, Roslan Saleh, Aida Aris, Erin Malek, Den Wahab, Kamal Adli, Eizlan Yusof dan Shahronizam Noor.