Selasa, 5 April 2011

KDN rampas 974 VCD, 333 DVD

KOTA BHARU - Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kelantan berjaya merampas 974 keping video cakera padat (VCD) dan 333 keping video cakera digital (DVD) cetak rompak dalam tempoh tiga bulan tahun ini.

Ketua Cawangannya, Tengku Nasarudin Tengku Ahmad berkata, pelaksanaan operasi itu hasil kerjasama antara bahagian itu dengan ahli-ahli wakil syarikat rakaman tempatan dan penggiat seni di negeri ini.

“Namun, kebanyakan operasi yang dijalankan tidak membuahkan hasil yang baik disebabkan lanun cetak rompak telah mengupah ‘tonto’ untuk mengesan pergerakan penguat kuasa.

“Contohnya di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, ada peniaga menjual VCD dan DVD cetak rompak tetapi sebaik sahaja anggota penguat kuasa masuk sahaja mereka melarikan diri disebabkan ada ‘tonto’ yang mengesakan pergerakan pasukan lebih awal, dan mereka memaklumkan kepada peniaga,”katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kebanyakan VCD dan DVD cetak rompak dibuat di negara jiran sebelum di seludup semula ke negara ini untuk dijual.

Dalam pada itu, Tengku Nasarudin berkata, pihaknya turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 30-an di pasar malam Air Canang, Jeli kerana menjual VCD dan DVD haram dalam satu operasi, malam semalam.

“KDN merampas 654 keping VCD dan DVD cetak rompak bernilai RM3,120 daripada lelaki terbabit dan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000, dan maksimum RM30,000 atau penjara tiga tahun,” katanya.