Selasa, 5 April 2011

Padah merompak doktor

KOTA BHARU - Seorang lelaki didakwa menembak seorang doktor dan melarikan kereta doktor berkenaan di Kuarters Hospital Tanah Merah (HTM), tiga tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Bagaimanapun, Anuar Ismail, 39, dari Kampung Kangkung, Pasir Mas itu, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan pada 20 Februari 2008, jam 8.45 malam itu, Anuar merompak Perodua Kancil, DAM 8668 dan melepaskan tembakan yang menyebabkan kecederaan Dr Mazlina Mat Daud, 36 di bawah Blok C, Kuarters HTM, Tanah Merah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rehan Mohd Aris mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, pada prosiding jam 10 pagi semalam, tertuduh yang hadir berpakaian lokap hijau menafikan melakukan perbuatan itu dan memohon dibicarakan atas tuduhan berkenaan.

Azman kemudiannya mengajukan pertanyaan sama ada tertuduh mahu melantik peguam sendiri ataupun menyerahkan kepada mahkamah menyebabkan Anuar bersetuju mencari peguamnya sendiri.

“Mahkamah menetapkan tarikh lain untuk memberi peluang kepada kamu mendapatkan peguam dan jika tidak mampu, maka mahkamah akan melantiknya.

“Kesalahan ini membawa kepada hukuman mati dan peruntukkan undang-undang memberi hak untuk kamu mendapatkan khidmat peguam,” katanya.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 9 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki diburu polis kerana menembak seorang doktor serta melarikan keretanya, 20 Februari tiga tahun lalu.

Kejadian menyebabkan doktor klinik pergigian hospital itu mengalami kecederaan di paha selepas penjenayah berkenaan melepaskan tembakan ketika beliau berada dalam kereta.

Mangsa yang mengandung berkata, penjenayah berkenaan mengheretnya keluar bersama anak lelaki dan terus melarikan diri dengan keretanya.