Rabu, 6 April 2011

Lelaki kurang siuman bakar al-Quran


SHAH ALAM – Seorang lelaki dipercayai kurang siuman disyaki membakar senaskhah al-Quran di sebuah masjid di kampung Johan Setia, Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, siak masjid terbabit terkejut selepas membuka pintu masjid kerana melihat al-Quran itu terbakar dan merebak ke kalendar yang tergantung di dinding.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, suspek ditahan polis kurang 24 jam daripada kejadian itu dipercayai membakarnya menggunakan pemetik api.

Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.09 pagi.

“Bagaimanapun, api telah padam dan hanya tinggal asap ketika siak terbabit melihat kejadian itu,” katanya melalui satu kenyataan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Menurutnya, polis kemudian menjalankan siasatan mengesan suspek dan kira-kira jam 11.30 pagi, suspek ditahan di rumahnya kira-kira 100 meter dari masjid terbabit.

Menurutnya, sebelum ini penduduk di situ mendakwa pernah melihat suspek membakar surah Yasin sebelum membuangnya di tepi jalan.

“Suspek juga didakwa pernah membakar motosikal milik seorang lelaki Kemboja, tetapi tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

“Suspek dikatakan sering menghisap rokok menggunakan kertas surat khabar dan pernah empat kali dimasukkan ke Hospital Tanjung Rambutan kerana masalah mental,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan. 

sumber : sinar harian