BIDA - Seorang lelaki di Nigeria, Bello Maasaba berusia 87 tahun telah berkahwin dengan 107 wanita dan memiliki 185 orang anak, lapor sebuah akhbar kelmarin. Anak bongsunya baru berusia sebulan.
DIHORMATI PENGIKUT...dua pembantu Bello membetulkan jubah bomoh itu setiap kali dia duduk atau berdiri dalam mana-mana majlis. |
Bekerja sebagai seorang pengamal perubatan Islam, Bello kini memiliki 86 isteri berusia dari 19 tahun hingga 64 tahun. Sembilan isterinya telah meninggal dunia manakala dia menceraikan 12 yang lain.
"Saya mendapat ilham daripada Tuhan yang memberitahu saya wanita yang mana patut saya berkahwin," kata warga emas tersebut.
"Tanpa ilham tersebut, saya tidak akan mengahwini lebih daripada dua isteri," tambahnya. Dia tinggal bersama keluarganya di sebuah rumah yang memiliki 89 bilik di sini.
Seluruh keluarganya termasuk mertua, ipar, sepupu dan anak saudara kini berjumlah sekitar 5,000 orang.
Bello pernah dipenjara tiga tahun lalu apabila dia enggan menceraikan semua isterinya kecuali empat isterinya seperti yang diarahkan pihak berkuasa agama Islam Nigeria.
Semasa kes itu dibicarakan, puluhan isterinya memberi keterangan bahawa mereka berkahwin dengan ikhlas. Selepas mendengar keterangan 57 wanita, hakim mahkamah terbabit mengarahkan supaya Bello dibebaskan.
Mengenai kehebatannya di ranjang, Bello memberitahu, ia adalah anugerah Tuhan.
"Sekiranya saya gagal memuaskan isteri-isteri saya, mereka akan meninggalkan saya," ujarnya. - Agensi