Isnin, 9 Mei 2011

Mittal terkaya di Britain

Lakshmi Mittal





LONDON 8 Mei - Bilionair kelahiran India,Lakshmi Mittal menyaksikan kira-kira lima bilion pound (RM24 bilion) daripada kekayaannya lenyap dalam tempoh setahun yang lalu tetapi terus disenaraikan sebagai orang terkaya di Britain.
Kekayaan Mittal, ketua pengeluar keluli terbesar di dunia, ArcelorMittal menyusut kira-kira 22 peratus kepada 17.5 bilion pound (RM87.5 bilion) dalam masa 12 bulan lepas, menurut senarai tahunan orang terkaya yang disiarkan oleh akhbar Sunday Times di sini hari ini.
Kemerosotan besar dalam kekayaan Mittal, 69, berpunca daripada kejatuhan harga saham ArcelorMittal ketika industri keluli dunia terus bergelut dengan masalah kenaikan kos bahan mentah dan kelembapan permintaan.
Dalam senarai tahun ini beliaulah yang mengalami penyusutan terbesar tetapi tetap berada di tangga teratas untuk tahun ketujuh berturut-turut, dengan kelebihan lima bilion pound (RM25 bilion) meninggalkan seorang lagi bilionair keluli, Alisher Usmanov di tempat kedua.
Nasib Mittal yang merupakan Pengerusi dan Ketua Eksekutif ArcelorMittal jauh berbeza daripada golongan terkaya lain di Britain.
Kelompok 1,000 orang terkaya menyaksikan kekayaan mereka melonjak kembali berikutan kemelesetan ekonomi dan secara kolektif bertambah 18 peratus kepada jumlah keseluruhan 395.8 bilion (RM1.98 trilion).
Bilangan bilionair di Britain kini berjumlah 73 orang berbanding 53 pada tahun lepas dan hampir menyamai rekod 75 orang yang dicatatkan dalam senarai 2008 sebelum krisis kewangan. - AFP