Ahad, 8 Mei 2011

Hentak kepala guna sepana

http://www.sinarharian.com.my/imagesSH/9064377.jpg

 
 ALOR SETAR - Sekumpulan 15 pelajar program Pendidikan Khas Integrasi, Sekolah Kebangsaan Bukit Jana, Kamunting, Taiping, Perak, dan 26 guru dan ibu bapa pelajar yang mengikuti lawatan sambil belajar ke Muzium Padi, Anak Bukit, panik apabila pemilik bas persiaran yang disewa mereka bertindak mencederakan diri sendiri.

Guru pengiring program lawatan itu, Rosmizam Rosli, 29, berkata, sewaktu kejadian, kesemua pelajar dan guru yang menyertai lawatan berada di dalam muzium dan hanya pemandu bas serta pemilik bas yang mereka sewa tidak masuk ke dalam muzium.

Menurutnya, mereka bertolak dari Taiping kira-kira jam 6.30 pagi tadi dan tiba kira-kira jam 10 pagi di muzium ini sebelum merancang untuk bertolak ke Padang Besar, Perlis.

“Sebaik keluar daripada muzium, kami dimaklumkan bahawa pemilik bas ini cuba mencederakan dirinya sendiri dengan menghentak sepana di bahagian belakang kepalanya.

“Keadaan di bahagian tangga bas dipenuhi percikan darah manakala terdapat beberapa peralatan seperti sepana, playar dan pemutar skru, dipenuhi darah,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga peniaga makanan ringan di kawasan itu, Siti Rohana Ahmad, 27, berkata, beliau melihat seorang lelaki yang berada di dalam bas berhampiran gerainya, mengetuk kepalanya berulang kali menggunakan sesuatu.

“Saya sangka dia cuba menghilangkan lenguh tetapi saya hairan apabila semakin lama semakin kuat dia mengetuk.

“Tidak lama kemudian, saya lihat rakannya datang dan keadaan menjadi kecoh apabila darah berlumuran pada bahagian kepala dan tangan lelaki terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Setar, Superintendan Baharom Abu mengesahkan menerima laporan mengenai seorang lelaki berusia 58 tahun dikenali sebagai Ooi Sike Kai, dipercayai cuba mencederakan diri.

Menurutnya, lelaki terbabit adalah pemilik bas terbabit dan sewaktu kejadian, dia berada seorang diri di dalam bas manakala pemandunya sedang minum di gerai berhampiran kawasan itu.

“Berdasarkan laporann, apabila pemandu kembali ke dalam bas beliau mendapati pemilik bas berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan bahagian belakang kepala dan pergelangan tangannya berdarah, manakala tangannya memegang sepana.

“Dia juga dikatakan murung sepanjang perjalanan," katanya.

Baharom berkata, Sike Kai dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan.



SUMBER: Sinar Harian