TANAH MERAH – Seorang remaja parah apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan dua kereta, malam semalam.
Kejadian kira-kira jam sembilan malam itu dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa, Mohd Amirul Mohd Yusof, 15, pelajar Sekolah Menengah Dato’ Mahmod Paduka Raja berlanggar dengan kenderaan polis.
Berikutan itu, mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta Perodua Kancil.
Rakan mangsa, Mohd Hakim Abdul Aziz, 14, berkata, ketika kejadian dia bersama mangsa dan rakan mereka dalam perjalanan pulang selepas mengisi minyak di stesen minyak Petronas di Manal.
Menurutnya, selepas melihat mangsa berada di atas jalan, dia bersama rakannya memberhentikan motosikal untuk membantu mangsa.
“Ketika itu pemandu kereta polis berkenaan dan orang awam cuba membantunya.
“Tetapi tiba-tiba datang kereta Kancil yang dipandu laju melanggarnya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Tanah Merah, semalam.
Berikutan kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan serta di hantar ke Unit Kecemasan Hospital Daerah Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan.
Sinar Harian difahamkan, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (HUSM) untuk menerima rawatan lanjut.
sumber: Sinar Harian