Isnin, 9 Mei 2011

Kepulangan Rokbi cetus misteri

Keratan akhbar tentang kehilangan Rokbi

Bukan setakat kehilangannya, kepulangan Mohd Rokbi Hassan, 33, dari Kampung Belukar, Telaga Tujuh, dekat Labok, turut mengundang pelbagai pertanyaan dalam kalangan keluarga dan penduduk kampung.

Bagaimanapun, persoalan tersebut tergantung begitu sahaja apabila Mohd Rokbi tidak berkata apa-apa sejak kepulangannya, kelmarin.


Pada 29 April lalu, Mohd Rokbi menghilangkan diri setelah keluar dari rumah keluarganya.

Setelah lebih seminggu bertungkus lumus mencari dibantu penduduk kampung dan anggota Skim Rondaan Sukarela sekitar Pulai Chondong dan Labok, Mohd Rokbi muncul di rumah sepupunya di Kampung Takel Luar, kelmarin.

Abangnya, Azman Hassan, 42, berkata, adiknya tiba di rumah sepupu mereka kira-kira jam lapan malam.

Menurutnya, kepulangan tersebut segera dimaklumkan kepada ahli keluarga lain yang masih giat menjalankan kerja mencari di sekitar kampung.

Namun, katanya, perangai adiknya berubah daripada seorang pendiam kepada seorang yang pemarah sejak pulang ke rumah, kelmarin.

“Buat masa ini kami masih tidak boleh bertanya apa-apa dan membiarkan dia menenangkan fikirannya dahulu.

“Dia agak garang dan tidak boleh ditanya apa-apa buat masa sekarang.

“Syukurlah dia telah pulang dan kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang bersusah payah mencarinya sejak seminggu lalu,” katanya.

Mohd Rokbi dikatakan berperangai pelik sejak mengambil upah menebas di kawasan bukit berdekatan rumah mereka dan dua kali menghilangkan diri.



sumber: Sinar Harian