PELAJAR SM Bandar Baru Uda menunjukkan bangunan sekolah yang sering diganggu histeria |
Pada pandangan mata kasar, gangguan itu dianggap histeria yang berlaku hampir setiap hari persekolahan, namun yang peliknya ia turut membabitkan pelajar lelaki dengan waktu kejadian biasanya antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari sebelum bersambung pula selepas jam 5 petang.
Akibatnya, rata-rata pelajar tidak dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran, malah ada yang lari ketakutan sejurus melihat rakan terkena gangguan.
Pelajar Tingkatan Tiga, Erra Natasya Mohd Asri, 15, berkata hampir setiap hari sejak dua minggu lalu, ada pelajar yang diserang histeria di sekolah berkenaan.
"Malah pada satu pagi, sekurang-kurangnya tiga pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki diserang histeria mulai 9.30 pagi. Sebaik terkena gangguan, ustaz membantu dengan membacakan ayat al-Quran.
"Sebelum ini, histeria pernah membabitkan antara 15 hingga 20 pelajar, menyebabkan guru sibuk membantu mereka yang mengalami serangan itu," katanya.
Rakannya, Noor Fazila Mohd Jais, 15, berkata kejadian histeria yang dialami di sekolah itu boleh dikatakan berlaku setiap tahun, cuma berbeza masa dan bulan.
"Sejak saya bersekolah di sini dari Tingkatan Satu, setiap tahun pasti ada kejadian histeria. Biasanya ia mengambil masa antara satu hingga dua bulan untuk berakhir.
"Tahun lalu, kejadian sama berlaku di Blok E. Pengurusan sekolah menggunakan lada hitam dijampi yang ditabur di sekeliling sekolah sebelum gangguan itu reda.
"Sejak dua minggu lalu pula, kejadian berulang lagi tetapi kali ini bermula dari tandas pelajar perempuan di Blok A. Selain ustaz, ada kala imam Masjid Jamek Bandar Baru Uda turut dipanggil untuk membantu," katanya.
Seorang lagi pelajar, Nurul Najiha Ramli, 15, berkata setiap kali berlaku serangan histeria, pelajar yang menjadi mangsa akan menjerit, menangis serta meracau sebelum merebak kepada rakan lain.
"Keadaan itu membuatkan kami ketakutan melihat rakan yang mengalami gangguan berkenaan kerana selalunya mereka ambil masa lama untuk pulih," katanya.
Bapa seorang pelajar ketika tampil mengadu kejadian itu, menggesa pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengambil langkah segera menangani kejadian terbabit bagi mengelakkannya berulang.
sumber: berita harian