KLEBANG - Seorang warga emas di Pulau Gadong, Klebang Besar, di sini mendakwa memiliki senaskah al-Quran berusia lebih 1,000 tahun dan pernah ditawarkan sehingga RM800,000 oleh seorang lelaki dari Arab bagi memilikinya.
Abdul Razak Khalid, 73, berkata, al-Quran itu disimpan sejak 38 tahun lalu, setelah membelinya dari seorang lelaki Arab Saudi dengan harga RM30,000 semasa beliau mengerjakan fardu haji.
Menurutnya, beliau ditawarkan dengan nilai berkenaan menerusi menantunya daripada seorang lelaki dari Arab Saudi selepas menantunya menunjukkan kitab suci berkenaan kepadanya pada tahun lalu.
“Lelaki berkenaan sanggup menyediakan wang selepas mendapati al-Quran ini lengkap dengan 30 juzuk walaupun helaiannya terpisah disebabkan tidak dijilid, dipercayai kerana tiada teknologi berkenaan di zaman itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.
Abdul Razak berkata, bagaimanapun, dia menolak tawaran berkenaan kerana masih belum bercadang menjualnya ketika itu.
“Al-Quran ini masih disimpan dengan rapi di dalam kotaknya yang kemudn diletakkan di dalam bekas kaca serta dimasukkan ubat gegat bagi mengelakkannya rosak.
“Keadaannya sama seperti pada mula-mula ia dibeli dan tiada sebarang perubahan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini, beliau menerima kunjungan Kurator Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Drs Mohd Nasruddin Abd Rahman dan Penolong Kurator Kanan Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Iesnordin Malan yang melakukan pemeriksaan pada al-Quran berkenaan.
Menurutnya, semasa menceritakan bagaimana beliau memperoleh al-Quran tersebut ketika berusia 34 tahun, dia didatangi seorang lelaki yang menawarkan al-Quran untuk dijual.
“Apabila menelitinya yang disimpan di dalam beg kulit berbentuk empat segi bersaiz 19 X 25.4 sentimeter, apabila dibuka ia mempunyai penutup keras dan kelihatan helaian isi kandungan kitab suci berkenaan yang terpisah.
“Al-Quran tulisan tangan yang ditulis pada setiap muka depan dan belakang dan ciri khatnya berbeza dengan cara sekarang. Ia ditulis pada helaian kertas agak tebal berwarna perang dan bahagian tepinya juga sudah mempunyai kesan dimamah usia,” katanya.
Beliau berkata, isi kandungan al-Quran berkenaan lengkap kerana sudah disemak oleh cucunya yang juga seorang hafiz.
“Al-Quran ini akan dibawa ke Muzium Negara untuk ditunjukkan kepada pihak pentadbir di muzium berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nasruddin berkata, berdasarkan penelitiannya mendapati al-Quran berkenaan adalah asli dan ia adalah daripada zaman Othmaniah serta berusia lebih 1,000 tahun.
Menurutnya, ia disahkan berdasarkan mushaf Othmaniah iaitu ciri karakter khat yang ditulis pada zaman itu, selain tiada bentuk hiasan pada sekeliling surah berkenaan.
“Al-Quran pada zaman itu memang ditulis tanpa bentuk seni seperti al-Quran ketika ini, selain ia tidak dijilid serta kulitnya diperbuat daripada kulit.
“Naskah berkenaan juga lengkap dan jarang ditemui dengan keadaan seperti itu,” katanya.
sumber: Sinar Harian