Ahad, 1 Mei 2011

Rahang tertua di Eropah ditemui

FOSIL tulang rahang dipercayai daripada manusia tertua di Eropah telah ditemui di Sepanyol.


SAINTIS telah menemui tulang rahang yang dipercayai milik manusia tertua di Eropah yang tinggal di kawasan utara Sepanyol kira-kira 1.2 juta tahun lalu.
Para pengkaji telah membuat penemuan tersebut di kawasan arkeologi Atapuerca, yang menempatkan penduduk terawal benua tersebut yang terdiri daripada spesies Homo antecessor.


http://img.dailymail.co.uk/i/pix/2008/03_04/jaw1EPA_468x322.jpg

Rahang bawah yang baru itu memiliki ciri anatomi primitif dan moden, sekali gus saintis mencadangkan manusia prasejarah ini berasal daripada keturunan Neanderthal yang telah pupus kira-kira 40,000 tahun dahulu.
Bagaimanapun, saintis lain mencadangkan bahawa tulang rahang itu cenderung berasal daripada spesies pertengahan antara Homo erectus yang lebih purba dengan Homo neanderthalensis yang lebih baru dan bukannya daripada spesies manusia moden, Homo sapiens.


http://img.dailymail.co.uk/i/pix/2008/03_04/jaw3EPA_468x365.jpg

  
http://img.dailymail.co.uk/i/pix/2008/03_04/jaw2EPA_468x383.jpg

Seorang daripada kumpulan pengkaji, Jose Maria Bermudez de Castro berkata, tulang rahang tersebut yang mengandungi gigi ditemui dalam sedimen gua berbatu. Daripada pandangan luar, fosil tersebut kelihatan serupa seperti tulang rahang Homo erectus yang telah ditemui di Dmanisi di Georgia, menurut satu kajian yang disiarkan dalam jurnal Nature.
Menurut jurnal itu, daripada sebelah dalam, rahang tersebut kelihatan lebih moden.
"Saya fikir perihal sejarah manusia ini kurang diketahui di Eropah. Kita hanya mempunyai beberapa fosil dan artifak. Tetapi tulang rahang ini adalah fosil manusia tertua yang ditemui di Eropah Barat," kata Dr. de Castro dari Pusat Kajian Evolusi Manusia Kebangsaan di Burgos, Sepanyol.
Bagaimanapun, Prof. Chris Stringer dari Muzium Sejarah Semula jadi di London, Britain berkata, penentuan kewujudan manusia tertua di Eropah selalu menjadi kontroversi.
"Fosil manusia spesies Homo erectus diketahui berasal dari Dmanisi, Georgia, tetapi fosil tertua manusia Eropah pula ditemui di Atapuerca, Sepanyol dan satu tempat lain di Ceprano, Itali," kata Stringer.