Jumaat, 1 April 2011

OKU hilang MyKad dapat potongan denda 50 peratus





https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjE0N3_zj1_g3Og0gs8zz9dyP-Mp2xkXVTofu_w80BZS-aaFChqnETuRRUQAVgl9osyfHMCz0TViLPSXW7gQwyWaqE5Ieym0NcX2Q_1-StDyoJR23DhixRkHlehasM_r2B1xhfr-RsJXzQ/s400/ico_mykad.jpg


SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh mengurangkan bayaran denda sehingga 50 peratus kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) yang kehilangan MyKad.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Alwi Ibrahim berkata, bagaimanapun pengurangan bayaran denda itu bergantung kepada keadaan kes yang dilaporkan dan budi bicara pihaknya.

"Langkah ini penting kerana kita tidak mahu orang ramai datang membuat tuntutan sembarangan di mana mereka tidak menghilangkan MyKad sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemuramah pada Program Kerusi Panas, terbitan Radio 24, semalam.

Dalam pada itu, Alwi turut menjelaskan, ketika ini tidak ada sebarang peruntukan dalam JPN yang membolehkan seseorang individu yang melakukan pembedahan menukar jantina dibenarkan menukar status jantina mereka di MyKad.

“JPN hanya menguruskan proses pertukaran nama sahaja, tertakluk kepada sebab dan syarat-syarat tertentu,” katanya.

Mengulas isu keengganan sebilangan agensi kerajaan menerima MyKid dalam urusan rasmi, Alwi berkata, JPN telah memaklumkan kepada pihak berkenaan seperti Jabatan Pelajaran, Jabatan Imigresen dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk menerima MyKid sebagai dokumen rasmi.

"Ini kerana segala maklumat asas yang dikehendaki ada dalam kad berkenaan," katanya.