Gambar sekadar hiasan. |
PUTRAJAYA: Pemilik kenderaan boleh menggunakan semula nombor pendaftaran kenderaan yang dilaporkan hilang atau musnah dengan mendaftarkan semula nombor itu ke atas kenderaan baru yang belum pernah didaftarkan, tidak lama lagi.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, selain pemilik kenderaan, pihak lain tidak layak mendaftar semula nombor itu.
“Permohonan menggunakan semula nombor pendaftaran kenderaan hilang atau musnah itu akan dikenakan bayaran yang akan ditentukan kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kong berkata, peraturan itu boleh dilaksanakan selepas pindaan terhadap Seksyen 11 Akta Pengangkutan Jalan 1987 diluluskan pada 15 Disember 2010.
Berikutan pindaan itu, katanya, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh memperuntukkan semula kepada pemilik berdaftar mana-mana nombor pendaftaran kenderaan miliknya yang dilaporkan hilang, dicuri, rosak, binasa atau dihantar keluar dari Malaysia untuk selama-lamanya kepada kenderaan baru yang belum pernah didaftarkan.
Katanya, pemilik kenderaan terbabit yang berminat menggunakan semula nombor pendaftaran kenderaan lama mereka boleh mengemukakan permohonan di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangan.
Bagaimanapun, katanya, mereka perlu mematuhi syarat dengan mendapat pelepasan untuk mengguna semula nombor pendaftaran itu daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM). Katanya, prosedur itu dijangka mendapat sambutan baik terutamanya daripada pemilik kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran bernilai utama, menarik atau popular, yang membeli nombor berkenaan dengan harga yang tinggi serta mempunyai nilai sentimental. - Bernama