KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar berhati-hati terhadap penipuan oleh beberapa individu yang mendakwa sebagai pekerja atau kontraktor TNB dengan menjadikan rumah-rumah di luar bandar sebagai sasaran.
Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata, dalam satu kenyataan di sini hari ini bahawa individu ini mengenakan pakaian seragam dengan logo TNB dikatakan telah meminta orang awam dan pemilik rumah untuk membuat pembayaran pendahuluan atas alasan kerajaan akan membuat imbuhan menerusi bil penggunaan elektrik bulanan.
Menurut Pemandu, Kerajaan tidak memberi kuasa kepada mana-mana kementerian atau agensi untuk melaksanakan projek seumpama itu.
Ia juga berkata, kerajaan tidak mewajibkan pemilik rumah menanggung kos perkhidmatan pendawaian dalaman selain dari deposit sambungan meter berharga sekitar RM100.
"Adalah mustahak mengambil perhatian bahawa perkhidmatan pendawaian dalaman bukan sebahagian dari skop program elektrik luar bandar.
"Sebagai penyelia Program Transformasi Kerajaan yang menggariskan Infrastruktur Asas Luar Bandar NKRA, Pemandu menggesa anggota awam atau tuan punya rumah yang dihubungi oleh individu seumpama itu agar segera membuat laporan di pejabat polis terdekat,” katanya. – Bernama