Selasa, 12 April 2011

Jamuan patin RM13,000 patut - Pelanggan


TEMERLOH 12 April – Seorang pelanggan yang dilaporkan membayar RM13,000 bagi makan tengah hari termasuk hidangan ikan patin di sebuah restoran di sini baru-baru ini, hari ini mengakui harga itu berpatutan kerana ia adalah untuk 350 orang dan bukannya 50 orang.
"Lagipun, ikan patin yang kami makan itu adalah dari sungai dan saya tahu ia memang mahal,” katanya di sini hari ini bagi menjelaskan mengenai tanggapan yang kurang tepat bahawa harga yang dikenakan itu tidak munasabah.
Pelanggan itu berkata, selain ikan patin, mereka juga makan udang galah dan ikan krai, sejenis ikan sungai yang harganya juga tinggi.
Menurut beliau, persepsi mengenai harga yang dianggap tidak munasabah itu timbul, mungkin kerana ada antara 350 orang yang turut makan pada hari itu tidak tahu nilai sebenar jenis-jenis ikan yang dihidangkan. – Bernama